GARAM BUKIT BARIO



Garam bukit Bario ini merupakan salah satu daripada hasil bumi negeri Sarawak yang sememangnya diketahui kaya dengan sumber mineral semulajadi.

Garam bukit dikatakan mempunyai khasiat zat besi, iodin, kalium dan magnesium semulajadi sesuai digunakan sebagai penambah perisa makanan selain mempunyai banyak kelebihan daripada segi kesihatan. Antaranya seperti membantu melancarkan perjalanan darah, menyeimbang cas dalam badan, membunuh kuman dalam udara serta menyihatkan tubuh.

Mengenai proses penyediaan garam bukit, ia bukanlah sesuatu yang mudah kerana melibatkan kerja-kerja agak rumit dan memakan masa berhari-hari. Prosesnya bermula dengan menjerang air garam yang diambil daripada telaga masin menggunakan cara pembakaran kayu api di dalam kawah besar. Selepas tempoh sehari semalam, air garam itu akan dibiarkan mengalami proses pengkristalan sebelum membentuk butiran garam halus. Pada peringkat ini, ia perlu sentiasa di kacau untuk mengelakkannya hangus yang boleh menjejaskan kualiti garam.

Garam yang telah tersejat kemudiannya akan disejuk sebelum dimasukkan ke dalam buluh-buluh yang telah dipotong sepanjang lebih kurang 30 sentimeter (sm) setiap satu. Kemudian, bahagian bawah buluh akan ditebuk lubang kecil supaya air berlebihan dapat keluar bagi memastikan garam benar-benar kering. Setelah itu, buluh-buluh tersebut akan dibakar di atas bara api sama seperti kaedah membakar lemang untuk mengeraskan garam di dalamnya. Pembakaran akan dilakukan sehingga buluh terbakar dan akhirnya pecah untuk menghasilkan garam dalam bentuk ketulan keras.

Bahagian luar garam itu kemudiannya akan dikikis secara perlahan-lahan menggunakan pisau bagi menghilangkan tanda-tanda hitam pembakaran. Untuk proses membungkus, ketulan garam akan dibalut dengan sejenis daun dikenali sebagai daun ilat dan diikat kemas menggunakan tali rotan.