LADA HITAM SARAWAK

Lada hitam merupakan sejenis herba memanjat dan memerlukan sokongan untuk tumbuh dan menghasilkan buah. Ia biasanya ditanam secara komersial di Negeri Johor dan Sarawak. Ia hidup subur di kawasan tanah tinggi dan berbukit. Lada hitam berasal dari Malabar, India dan dibawa ke Asia tenggara sejak 2000 tahun lalu dan semenjak itu ia ditanam di Malaysia dan Indonesia. Kemudian ia tanam pula di Thailand, Vietnam, China dan Sri lanka. Bahagian yang digunakan sebagai rempah ialah buahnya yang mempunyai bau yang kuat.

Terdapat dua jenis lada yang biasa dijumpai sebagai rempah iaitu lada hitam dan lada putih. Kedua-duanya dihasilkan dari buah lada hitam melalui dua proses yang berbeza. Lada hitam dihasilkan dengan cara menjemur dan mengeringkan buahnya yang belum masak di atas api hingga kulitnya berubah menjadi hitam dan berkeriput.


Lada putih pula dihasilkan dengan memetik buah yang hampir masa, ia kemudiannya direndam untuk memudahkan proses pengupasan. Pengupasan dilakukan dengan menggosoknya, setelah itu ia dijemur hingga benar-benar kering. Lada putih mempunyai bau yang lebih kuat dari lada hitam, tetapi bau lada hitam lebih wangi dari lada putih.


Selain digunakan secara meluas dalam masakan, dalam perubatan tradisional melayu lada hitam digunakan untuk meredakan sakit perut, loya, demam, sakit sendi dan sakit kepala. Ia juga digunakan untuk membuang angin dalam badan. Ia juga digunakan untuk meredakan kembung perut bayi. Lada hitam juga digunakan oleh ibu dalam pantang dengan cara menumbuknya dengan ikan bilis goreng dan dimakan bersama nasi panas. Lada hitam dan lada putih yang dibungkus dalam kain dan dilayurkan pada api digunakan untuk menuam perut bayi yang kembung. Cara ini juga digunakan untuk meredakan kesakitan akibat bengkak dan bisul. Lada hitam juga berfungsi menguatkan tenaga batin lelaki. Lada hitam yang ditumbuk dan diminum bersama air suam dapat menguatkan tenaga dalaman lelaki. Air rebusan lada hitam pula berupaya meredakan cirit-birit dan kencing tidak lawas.